Catatan: Normalawati Shamsudin ( Kak Mala )
Explorasi pergunungan batu kapur di pinggir kota Gopeng, Perak memberi kepuasan kepada sesiapa yang menyusuli danau di dalam gua yang mempunyai keindahan semula jadi oleh pembentukan stalegmite dan stalactite.
Gua Tempurung yang terletak di Lembah Tempurung mempunyai 1001 keindahan yang tidak mungkin dilupai oleh setiap pendaki gunung batu kapur ini. Gua Tempurung diberi nama disebabkan gua ini mempunyai lima kubah gergasi dengan bahagian langit-langit nya berbentuk tempurung kelapa. Keistimewaan gua ini mempunyai aliran sungai yang jernih dengan ikan-ikan yang hidup bebas serta flora dan fauna yang sukar ditemui. Panjang gua ini adalah 1.9km dan mempunyai empat pakej tertentu untuk masuk dan menikmati keindahannya.
Pada 26 Mac 2011, seramai 14 orang Pegawai Sains dari Komuniti Pegawai Sains (k-Sains) UKM telah berani menyahut cabaran Program Explorasi Gua Tempurung ini dengan mendaki dan menyusuli sungai di dalam gua yang menakjubkan dengan keindahan hiasan dari marmar putih dan menara batu kapur. Kekuatan fizikal dan mental amat diperlukan untuk mendaki 10 plantar dengan 1200 mata tangga ke ‘Top of the World’ sebelum menyusuli sungai dan lubang-lubang batu kapur.
Pengalaman melihat sendiri pelbagai bentuk menarik seperti wajah perempuan, orang tua, kucing, burung, ayam serama, rupa seperti hantu dan lain-lain hasil pembentukan dari stalactite dan stalegmate tidak akan dilupakan. Cabaran merentasi tebing curam yang berair menjadikan explorasi ini semakin mencabar, perlu kesabaran dan kerjasama yang erat antara rakan.
Walaupun basah kuyup dan kepenatan, didapati semua pendaki merasa amat berpuas hati dan pengalaman yang amat bermakna ini akan tetap terpahat diminda. Apa yang paling penting pengalaman di Gua Tempurung menjadi satu nostagia kenangan paling indah dan sukar dinilai dengan kos sebanyak RM50.00 bagi menyokong k-Sains. Terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan program yang bemakna ini.
p/s : Tahniah kepada ahli K-Sains yang terlibat dalam program menarik ini.